terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar

terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar
aku nak jadi hamba Allah yang bertaqwa kepada Nya

Monday, November 5, 2012

saya bukan jenis lelaki yang romantis kata Lee Chong Wei

SEBELAS tahun lepas, gadis serba sederhana ini baru menginjak usia 18 tahun, manakala sipemuda pula memasuki gerbang usia 19 tahun. Ketika itu, masing-masing begitu tekun menggilap bakat dalam sukan yang amat mereka minati. Setelah mengharungi pelbagai cabaran dan berkat usaha yang tidak mengenal jemu, kini nama mereka gah di seluruh dunia dan menikmati kehidupan yang serba lengkap. Bagi siwanita, dengan usia yang sudah begitu matang, dia tidak memerlukan sesiapa untuk mencorakkan masa depannya, kecuali seorang lelaki yang dengan penuh ikhlas sanggup berjanji bahawa "saya akan menjaga awak sepenuh hati". Lelaki dan wanita yang dimaksudkan ini ialah pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dan bakal isteri beliau, bekas pemain badminton perseorangan kebangsaan, Wong Mew Choo. Siapa sangka, dunia badminton yang sama-sama mereka minati, akhirnya membawa mereka ke alam kehidupan sebagai suami isteri. Pasangan ibarat pinang dibelah dua ini pertama kali bersua muka di kem badminton kebangsaan 2001 di Kuala Lumpur apabila mereka menjadi pemain pelapis bagi skuad negara. Ketika itu, mungkin tidak terlintas di fikiran pasangan ini betapa minat terhadap badminton menguntumkan bunga cinta di taman hati masing-masing, yang akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin. "Saya kenal Mew Choo sejak lama dulu dan hubungan kami melalui detik mekar dan dingin selama 11 tahun. Memanglah, kadangkala kami berselisih pendapat, tapi dia tidak pernah meninggalkan saya. "Dia mengenali dan menyukai saya ketika saya belum mencipta nama lagi dan sikapnya itu tidak pernah berubah. Dia begitu setia menunggu saya dan kini, saya rasa, tibalah masa saya menyuntingnya sebagai isteri. Dia wanita yang cukup sabar dan saya sungguh mengagumi sifatnya itu," kata Chong Wei yang dipetik sebagai berkata dalam temu bual dengan sebuah akhbar. Bagi Mew Choo pula, keputusannya untuk menerima lamaran Chong Wei adalah semata-mata kerana "keihlasannya". Perkara itu dinyatakan wanita kelahiran Ipoh ini kepada pemberita baru-baru ini. Hubungan Seperti kebanyakan pasangan kekasih, hubungan cinta mereka tidak selalunya indah. Ia pernah dilanda gelora dan kontroversi serta gosip liar. Apabila pasangan ini mengumumkan hubungan cinta mereka berakhir pada 2009, media membuat spekulasi bahawa ia berpunca daripada hubungan yang terjalin antara Chong Wei dan pemain badminton Korea Selatan Hwang Hye-youn. (Pada tahun itu, Chong Wei menjalani latihan di Korea Selatan). Juara All England dua kali ini juga pernah dikaitkan dengan pemain perseorangan China, Wang Lin. Chong Wei berkata hubungan beliau dan Mew Choo bertaut semula setahun kemudian dan sejak itu, ikatan antara mereka semakin kukuh dan mekar. "Walaupun sudah menjadi kelaziman, setiap hubungan tidak dapat lari daripada dilanda gelora, tapi saya tidak mahu isu seperti ini menjejaskan kerjaya atau hubungan kami," katanya. Perkara itu diakui abang beliau, Lee Chong Hoon. "Sepanjang pengetahuan saya, Chong Wei tidak pernah menjalin hubungan dengan wanita lain, kecuali dengan Mew Choo, walaupun hubungan mereka sekejap akrab, dan sekejap dingin sebelum ini. "(Malah) Emak saya amat gembira dan seluruh keluarga kami tidak sabar menunggu hari perkahwinan kerana mereka (Chong Wei dan Mew Choo) akan disatukan sebagai suami isteri," katanya. Majlis perkahwinan Apabila Chong Wei mengumumkan bulan lepas bahawa beliau akan mendirikan rumah tangga dengan wanita yang menjadi teman wanitanya selama ini, berita itu tidak mengejutkan kebanyakan mereka yang bergiat dalam bidang sukan. Mungkin, ini kerana beberapa bulan lepas, Mew Choo dilihat berjalan bersama emak Chong Wei ketika berlangsungnya Sukan Olimpik London. Apabila Chong Wei begitu mengharapkan agar Mew Choo berada di London ketika beliau menghadapi perlawanan penting pada sukan itu, ia merupakan petanda jelas bahawa Mew Choo bukan sekadar seorang teman biasa, tetapi seseorang yang amat istimewa bagi pemenang pingat perak Olimpik itu. Majlis perkahwinan pasangan ini, yang sudah pasti akan dianggap sebagai 'wedding of the year', dihiasai majlis keraian pada 9 dan 10 November bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur. Majlis pada malam pertama adalah khusus untuk tetamu VIP, termasuk menteri dan pemimpin korporat, manakala malam kedua pula untuk anggota keluarga dan rakan rapat pasangan pengantin. Setakat ini, para jemputan yang mengesahkan kehadiran amsing-masing, termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan keluarga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Pasangan pengantin akan mengenakan enam busana rekaan Daniel Tang dan Leslie Lee dari DH Fashion Bridal House, yang juga penaja utama majlis. "Ia akan merupakan kali pertama saya memakai pakaian yang begitu berfesyen, tak biasalah, sebenarnya, saya lebih suka yang lebih ringkas," kata Chong Wei sambil mengaku beliau agak gementar menghadapi hari penuh bersejarah itu. Mew Choo, yang berada di sisi Chong Wei sepanjang temu bual itu segera mencelah dengan berkata dia akan pastikan bakal suaminya itu kelihatan paling kacak dalam pakaian berkenaan. "Shuai! (bermaksud kacak dalam bahasa Cina). Sudah tentu beliau akan kelihatan kacak apabila mengenakan sut, tapi beliau tetap istimewa bagi saya biar apapun yang dipakainya," kata Mew Choo. Chong Wei juga tidak kurang bersifat kelakar seperti tunangnya itu apabila beliau menjawab pertanyaan ‘Mew Choo macam mana yang beliau lebih suka: Mew Choo yang memakai gaun pengantin atau Mew Choo yang mengenakan kemeja T dan seluar sukan'. "Saya lebih suka Mew Choo yang mengenakan pakaian sukan. Itulah Mew Choo yang saya kenal selama ini," kata jaguh badminton dunia berusia 30 tahun itu. Pasangan berkenaan akan menggunakan khidmat enam pengapit pada majlis persandingan mereka, termasuk pemain beregu terkemuka negara Koo Kean Keat dan Tan Boon Heong. Kehidupan setelah berkahwin Chong Wei berkata, beliau tidak bercadang untuk bersara daripada bermain badminton setelah mendirikan rumah tangga kelak. "Saya akan terus bermain selagi saya cergas dan tidak mengalami kecederaan. Kini, saya berehat daripada menjalani latihan selama 10 hari untuk membuat persiapan bagi majlis perkahwinan saya. Saya tidak akan menyertai Terbuka China, tapi akan bermain di Hong Kong dan Macau," katanya. Terbuka Hong Kong akan diadakan seminggu selepas majlis perkahwinan mereka, manakala Terbuka Macau pula dijadual berlangsung seminggu selepas itu. Menurut Chong Wei, Mew Choo, 29, yang melepaskan jawatan sebagai jurulatih sukan di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada Oktober, mungkin akan membantu mengurus syarikatnya, Binajaya Sdn Bhd. Beliau berkata mereka merancang berbulan madu di New Zealand, Maldives atau Amerika. “Mungkin kami akan pergi berbulan madu selepas kejohanan tersebut. I kena hutang dululah dengan dia. Tapi, saya tahu dia faham tentang jadual saya yang sibuk," kata Chong Wei sambil menjelaskan bahawa walaupun beliau bukan jenis lelaki romantis, tetapi beliau akan melakukan apa saja untuk membahagiakan kehidupan isterinya kelak. Ditanya tentang anak, Chong Wei pantas menjawab, "Sudah tentu kami mahukan anak, kami akan cuba bersungguh-sungguh, tapi kami tak mahulah memaksa diri."

No comments: