terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar

terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar
aku nak jadi hamba Allah yang bertaqwa kepada Nya

Wednesday, September 14, 2011

refleksi bina insan guru kumpulan 24 fasa 4

REFLEKSI KUMPULAN – KUMPULAN 24 PROGRAM BINA INSAN GURU FASA 4 2009 KG. DALAM RHU, TUMPAT, KELANTAN. Kami para pelajar PISMP PJ1, PJ2, PK1, PK2 dan Matematik berjumlah 99 orang telah menjayakan sebuah Program Bina Insan Guru Siri 4 2009 yang diadakan dari 29 hingga 31 Oktober 2009 bertempat di Kg. Dalam Rhu, Tumpat, Kelantan. Program ini telah juga telah disertai oleh Pegawai BIG iaitu En. Zainol bin Zakaria, dan beberapa orang pensyarah yang juga merupakan tutor bagi Kumpulan Pendidikan Jasmani, Pendidikan Khas dan Matematik Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu iaitu Encik Anuwar bin Hamat, Miss Foo Ai Peng, Puan Nik Noriah bt. Nik Ibrahim, En. Wan Suhaimi b. Wan Setapa dan En. Nik Azhar bin Nik Abdul Rahman . Sebelum dapat menjayakan program ini, pelbagai perkara perlu diambil kira, seperti matlamat yang ingin dicapai, organisasi yang mantap, perancangan yang rapi, dan persiapan yang sempurna. Untuk mencapai semua perkara di atas, kerjasama dan kesepakatan antara semua pihak amatlah perlu. Tanpa mengira perbezaan kelas dan jawatan, semua perlulah bersatu agar program yang dirancang dapat berjalan dengan lancar. Jika ada masalah yang timbul, kaedah musyawarah dan rujukan pada pensyarah yang berpengalaman didapati menjadi penyelesaian yang amat berguna. Beberapa mesyuarat telah diadakan untuk mencapai kata sepakat dalam menjalankan program ini. Kami telah belajar mengenai tatasusila bermesyuarat yang betul, bagaimana jika sesorang itu hendak memberi pendapat dan sebagainya. Juga bagaimana untuk mengawal sesebuah mesyuarat itu daripada menjadi tidak terkawal. Malah disiplin masa juga ditekankan kerana semua ahli perlu sampai pada masa yang telah ditetapkan. Di dalam mesyuarat tersebut juga biro-biro diterangkan tentang bidang tugas agar mereka jelas dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Hari keberangkatan ke Kg. Dalam Rhu, Tumpat menunjukkan guru pelatih IPGM Kota Bharu amat menitikberatkan pengurusan masa. Pada jam lapan pagi semua peserta telah berkumpul di Cafeteria IPGM. Guru pelatih telah bersama-sama mengangkat kotak air mineral dari stor asrama ke Cafe IPGM. Sepakat membawa berkat telah terpahat dalam jiwa semua guru pelatih yang mengikuti program ini. Pengumpulan peserta sekali lagi dilakukan untuk kepastian pembahagian kumpulan anak angkat. Taklimat juga sering diberi dari semasa ke semasa sepanjang program berlangsung. Apabila sampai di SK Tumpat, semua peserta telah membina khemah mengikut kumpulan. Selepas mendirikan khemah peserta telah bersama-sama menyusun kerusi di dewan SK. Tumpat. Selepas itu, kami telah bekerjasama untuk memasak bersama-sama dan makan tengah hari. Apa yang menariknya progam BIG kali ini ialah kami telah diberi sebuah keluarga angkat yang kebanyakannya terdiri daripada ibu dan bapa tunggal dan keluarga yang miskin. Kami juga berpeluang untuk bersama dengan keluarga angkat pada hari kedua program. Kami telah bersama dengan keluarga angkat selama sehari suntuk untuk belajar tentang kesusahan dan masalah yang menimpa keluarga angkat kami. Kami telah menemuramah keluarga angkat kami dalam keadaan santai untuk mengetahui lebih mendalam tentang profil keluarga ini. Kami melihat aspek kekuatan yang ada dalam keluarga ini kerana mereka mempunyai kemudahan yang cukup lengkap seperti peti ais, mesin basuh, televisyen, dapur gas, bilik air, tandas, bilik tidur dan sebagainya. Keluarga angkat kami merupakan keluarga yang sederhana. Ayah angkat kami merupakan seorang pesara dan ibu angkat kami berniaga kuih-muih. Ketiga-tiga anak mereka telah mendirikan keluarga dan seorang daripada mereka tinggal di rumah itu. Dua orang cucu ayah angkat kami yang tinggal bersamanya didapati menghadapi kesukaran untuk berinteraksi dengan kami. Mereka sangat pemalu dan amat sukar untuk berbual dengan mereka. Mungkin mereka memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri tambahan pula ini kali pertama kami bertemu. Program ini amat bermanfaat kerana kami berpeluang untuk menyelami kesusahan hidup orang lain. Selain itu, kami juga dapat mengeratkan hubungan di antara satu sama lain terutamanya dalam kumpulan anak angkat. Mungkin sebelum ini kami hanya bertanya khabar jika bertemu di jalanan namun sekarang hubungan itu lebih erat dan bagaikan adik-beradik. Kami juga belajar tentang kemahiran interpersonal dan intrapersonal yang mana merupakan kemahiran yang sangat penting buat setiap insan apatah lagi apabila bergelar guru kelak. Program BIG ini juga telah mengajar kami tentang pengurusan masa yang sepatutnya dimiliki oleh kami bakal pendidik. Masa sentiasa berjalan dan tidak akan menunggu kita, malah kita yang sepatutnya mengejar masa. Jadi kami perlu mematuhi jadual tersebut dan memastikan aktiviti dapat dijalankan tepat pada masanya. Kami tidak akan menghadapi masalah sekiranya masing-masing memiliki tahap disiplin yang tinggi. Di sana juga kami dikehendaki memastikan kebersihan dan kekemasan tapak perkhemahan, khususnya di dapur. Program ini banyak memberi faedah kepada kami. Ia dapat memberi pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Kami telah mendapat gambaran bagaimana untuk menganjur sesebuah program yang melibatkan masyarakat setempat. Pengalaman ini dapat dipraktikkan ketika kami menjadi seorang guru kelak dan ditugaskan untuk menjadi guru pembimbing sesuatu kelab dan sebagainya. Ketika di sana, seribu satu faedah telah kami semua perolehi. Antaranya ialah kerjasama dan perpaduan merupakan tunggak kejayaan sesuatu program itu. Bak kata pepatah, ’Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. kami perlu bersatu-padu dan sentiasa berganding bahu walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Kesimpulannya, pelbagai perkara yang dilalui sepanjang program ini diharapkan dapat mematangkan kami dalam menempuh alam perguruan kelak. Pelbagai kemahiran baru dapat dicapai antaranya kemahiran membuat keputusan, kemahiran pengurusan masa, malah bakat kepimpinan juga dapat diasah. Perkara sebegini dapat memberi pengalaman yang tiada nilainya malah dapat dijadikan panduan yang amat berguna pada masa yang akan datang. Sekian, terima kasih. Disediakan oleh, AINUL BASIRAH BT. MOKHTAR, SYAFIQAH BT. OMAR, MOHD. NASRUL SYAFIQ B. RAZALI, MOHD. AMERUL AFIQ B. MOHD. NOOR, KUMPULAN 24.

No comments: