terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar

terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar
aku nak jadi hamba Allah yang bertaqwa kepada Nya

Wednesday, September 14, 2011

isu sukn negara

Isu Sukan Negara Sukan merupakan aktiviti yang dapat memberi faedah yang banyak kepada negara. Selain dapat mengajak rakyat lebih aktif untuk bersenam, sukan juga dapat memberi peluang kepada atlet-atlet yang mewakili negara untuk mengharumkan nama negara di mata dunia. Sukan juga dilihat dapat membantu meningkatkan ekonomi negara melalui acara-acara sukan yang dianjurkan di dalam negara. Justeru, sukan wajar dimajukan untuk kepentingan negara. Namun, pelbagai isu telah timbul di dalam bidang sukan seperti isu rasuah, pengambilan dadah oleh atlet dan juga prestasi atlet yang tidak memberangsangkan. Isu rasuah sememangnya telah lama wujud dalam bidang sukan. Ramai pihak berpendapat bahawa rasuah berpunca daripada aktiviti perjudian di mana pengurus, pengadil dan atlet-atlet diberi wang supaya mempengaruhi keputusan perlawanan demi kepentingan mereka yang berjudi. Selain itu, atlet juga dikatakan menerima rasuah kerana isu bayaran gaji yang selalu tertunggak dan gagal dijelaskan majikan. Isu rasuah ini mula hangat diperkatakan pada tahun 1990-an apabila ramai pemain bola sepak Liga Perdana Malaysia mula menerima rasuah. Menurut sesetengah pihak, rasuah dalam sukan bola sepak tanah air telah lama wujud, sebelum tahun 1990-an lagi. Namun, isu ini tidak diperbesarkan dan ramai pihak tidak sedar akan kewujudannya. Hasil daripada kesedaran tentang meluasnya rasuah dalam sukan bola sepak ini, ramai pemain yang terlibat didenda dan digantung daripada beraksi dalam liga ini. Rasuah memberikan impak yang negatif kepada bidang sukan. Antara impak negatif rasuah dalam sukan ialah penurunan prestasi atlet, kehilangan peminat dan penaja serta mencalarkan imej negara. Contoh kesan rasuah kepada bidang sukan dapat dilihat sewaktu tahun 1990-an di mana imej sukan bola sepak di negara ini telah jatuh. Ramai penaja telah menarik diri dan enggan menaja Liga Perdana Malaysia. Peminat juga berasa tertipu dan kecewa dengan sikap pemain yang mengambil rasuah. Hasilnya, kemajuan yang diharapkan dalam sukan bola sepak gagal dicapai. Selain itu, isu yang agak kerap diperkatakan baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa ialah isu penyalahgunaan dadah oleh atlet-atlet. Dadah menguatkan prestasi atau dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Performance Enhancing Drugs’ digunakan untuk memberi kelebihan kepada atlet ketika bertanding dalam sesuatu acara sukan. Contoh atlet yang didapati bersalah menggunakan dadah baru-baru ini ialah atlet lumba basikal trek kebangsaan, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi. Fauzan disahkan positif oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) kerana menggunakan ‘anabolic steroid’ semasa menyertai kejohanan Mini Olimpik. Pelumba tersebut digantung dua tahun bagi kesalahan yang dilakukan. Penggunaan dadah adalah tidak beretika dan berbahaya dari segi kesihatan. Banyak kajian menunjukkan ramai atlet tidak mempedulikan risiko kesihatan yang akan dihadapi sekiranya mereka mampu mendapatkan kelebihan dengan cara tidak tulen. Oleh yang demikian, isu ini telah menjadi masalah yang serius dalam dunia sukan hari ini. Isu kemerosotan prestasi atlet-atlet kebangsaan juga merupakan satu masalah yang wajar diambil berat. Pencapaian atlet negara dilihat kurang memberangsangkan berbanding zaman dahulu. Atlet-atlet kebangsaan dahulu seperti Tan Aik Huang dalam sukan badminton, Mokhtar Dahari dalam sukan bola sepak dan M Jegathesan dalam bidang olahraga telah dikenali sebagai atlet yang disegani dan berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Kegagalan Malaysia merangkul sebarang pingat pada Sukan Komanwel 2006 di Australia merupakan bukti mutu sukan di negara belum cukup membanggakan. Pelbagai sebab telah dikenalpasti mengapa pencapaian atlet-atlet kebangsaan tidak membanggakan. Pertama, kurang galakan daripada ibu bapa sejak kecil mengakibatkan kekurangan atlet-atlet yang cemerlang. Ibu bapa kurang menggalakkan anak mereka menceburi bidang sukan kerana berpendapat bahawa bidang akademik lebih penting dalam menentukan kejayaan masa hadapan. Selain itu, ramai ibu bapa menganggap bidang sukan tidak dapat memberikan jaminan masa depan yang cerah. Kemudahan sukan yang belum mencukupi juga merupakan antara sebab mengapa atlet kebangsaan gagal beraksi dengan cemerlang. Negara kita masih kekurangan gymnasium dan kompleks sukan bertaraf dunia untuk membolehkan atlet berlatih dengan selesa. Malaysia juga kekurangan jurulatih berkaliber, pakar pemakanan, ahli fisioterapi dan pakar psikologi untuk membantu meningkatkan prestasi atlet. Ramai juga berpendapat cirri-ciri fizikal atlet tempatan merupakan factor atlet negara gagal beraksi dengan cemerlang. Atlet tempatan bersaiz kecil berbanding atlet negara lain. Perbezaan fizikal ini amat dirasakan terutamanya dalam bidang sukan yang mementingkan fizikal seperti bola sepak, bola keranjang dan ragbi. Di sebalik pelbagai isu yang timbul dalam arena sukan negara, masih belum terlewat lagi untuk usaha-usaha memajukan sukan dijalankan. Komitmen haruslah bermula daripada kerajaan dan disokong oleh rakyat supaya isu seperti rasuah, pengambilan dadah oleh atlet dan pencapaian yang tidak memuaskan dapat ditangani. Usaha memartabatkan sukan negara dapat mengembalikan imej negara seperti dalam sukan seperti renang, badminton dan bola sepak. Diharapkan negara dapat melahirkan lebih ramai atlet yang bertaraf antarabangsa seperti Nicole David yang merupakan pemain skuasy nombor 1 dunia dan Datuk Lee Chong Wei, pemain badminton nombor 1 dunia.

No comments: