terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar

terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar
aku nak jadi hamba Allah yang bertaqwa kepada Nya

Tuesday, October 13, 2009

MENGAPA PERLU BERMAIN?

MENGAPA PERLU BERMAIN?
Ramai ibubapa sering mengajukan soalan, "Mengapa anak-anak di peringkat awal asyik bermain sahaja dan apabila diminta membaca buku mereka cuba menolak?" Di kalangan ibu bapa yang kurang memahami perkembangan dan sifat semulajadi kanak-kanak menganggap bermain hanya sia-sia dan membuang masa sahaja. Sebenarnya sifat naluri semula jadi kanak-kanak suka bermain. Pada peringkat ini mereka suka meneroka, ingin tahu dan masih di alam fantasi. Dengan bermain pelbagai persoalan di dalam kepala mereka akan terjawab. Sebagai guru, ibu bapa ataupun siapa sahaja perlu tahu sifat kanak-kanak peringkat prasekolah. Antaranya adalah:


• Suka bertanya
• Suka meniru
• Suka mencuba
• Suka bermain
• Suka pada ulangan
• Suka memerhati
• Suka berimaginasi
• Suka menunjuk-nunjuk
• Suka meneroka


Apa maksud bermain?
Bermain adalah proses semula jadi dan spontan. la adalah kerja kanak-kanak yang dapat menghasilkan pengalaman, pembelajaran dan kemahiran. Bermain membenarkan kanak-kanak melakukan aktiviti yang kreatif. Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, bermain adalah suatu keperluan. Melalui bermain kanak-¬kanak dapat belajar pelbagai perkara dan isi dikenali sebagai pembelajaran tidak formal.



Apa Pendapat Tokoh Perkembangan Kanak-kanak?
Beberapa tokoh pendidikan memberi pandangannya berkaitan bermain antaranya adalah:
Froebel
Froebel (1782-1852) mewujudkan program kindergarten 1 di Jerman untuk kanak¬kanak 4 hingga 5 tahun berkonsepkan 'bermain sambil belajar'. Beliau percaya proses pembelajaran yang paling berkesan adalah sesuatu aktiviti yang meng¬gembirakan. Bermain adalah salah satu aktiviti yang menggembirakan. Dengan bermain kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran.
John Dewey
John Dewey (1852-1859) menggalakkan proses pembelajaran melalui prinsip belajar melalui bermain. Aspek keseronokan adalah hak setiap kanak-kanak.
Piaget
Piaget pula menyatakan bermain memberi kesan ke atas perkembangan kognitif. la terbukti mempunyai perkaitan dengan proses pembinaan pengetahuan melalui interaksi dan persekitarannya.
Soderman
Soderman (1984) menyatakan, kanak-kanak empat hingga lima tahun mempunyai keperluan asas untuk bermain. Masanya sama ada daripada segi kualiti ataupun kuantiti dihabiskan untuk bermain.
Apa Kanak-kanak Dapat Melalui Bermain?
Amir adalah seorang kanak-kanak yang cergas dan aktif. bia suka meneroka. Suatu hari dia asyik bermain di bilik air, apabila ditinjau rupanya dia sedang bermain dengan syampu yang menghasilkan buih yang begitu banyak. Bukan main seronoknya lagi.
Adakah aktiviti yang dapat dilakukan oleh Amir adalah aktiviti yang tidak berfaedah dan membazirkan syampu, air dan masa? Itu adalah pandangan daripada perspektif negatif. Sebaliknya, daripada perspektif pendidikan dan psikologi terdapat faedah dan kebaikan yang tersirat dalam permainan itu. Amir sebenarnya sedang mempelajari konsep udara daripada bermain buih tadi. Amir mendapat keseronokan di samping dapat menggunakan deria melihat melalui pemerhatian perubahan syampu daripada cecair pekat kepada buih.
Daripada aspek deria sentuh pula dia dapat merasa syampu yang licin. Daripada permainan yang tidak kita sedari ini Amir belajar pelbagai aspek pembelajaran sains yang kemungkinan tidak dapat diperoleh daripada pembelajaran formal semasa kecil.
Sering juga pihak-pihak tertentu bertanya apakah konsep belajar sambil bermain benar-benar memberi faedah kepada kanak-kanak. Tentunya kita semua sedia maklum bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia sedang memperhebatkan gerakan menyelaraskan Kurikulum Prasekolah dengan menerbitkan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan 2003 dengan tujuan supaya kurikulum dan pendekatan mengajar dapat diselaraskan dengan menggunakan konsep yang ditetapkan dalam Prasekolah Kebangsaan. Salah satunya adalah 'belajar melalui bermain’. Kenapa belajar melalui bermain?
"Belajar melalui bermain adalah pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang menggembirakan dan bermakna. Pendekatan belajar melalui bermain diberi penekanan khusus dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana bermain adalah fitrah kanak-kanak. Melalui bermain mereka gembira dan senang hati membuat penerokaan, penemuan pembinaan melalui pengalaman langsung secara semula jadi."
(Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, 2003.)
Tentu ada sebab yang konkrit di sebalik pendekatan pengajaran kurikulum itu. Antaranya adalah sistem pendidikan prasekolah menekankan pembelajaran yang menggembirakan. Dengan itu dapat kita katakan permainan membantu kanak¬-kanak dalam aspek berikut:
1. Membantu kanak-kanak memahami aktiviti di sekitar mereka. Kanak-kanak belajar melalui penglibatan secara terus dan pengalaman langsung.
2. Membantu pembentukan personaliti melalui kerjasama, berkongsi, mengikut peraturan, inisiatif dan kesedaran tentang kebersihan dan urutan.
3. Meningkatkan keyakinan diri.
4. Meningkatkan kebolehan fizikal daripada aspek motor halus dan motor kasar.
5. Memberi peluang mengenal persekitaran fizikal, seperti saiz, bentuk, warna, berat, tekstur dan jenis.
6. Sebagai salah satu cara kanak-kanak meluahkan perasaan gembira, marah dan geram.
7. Mengembangkan kebolehan kreatif semasa menyelesaikan masalah dalam bermain.
8. Sebagai latihan menyelesaikan masalah dengan mencuba berbagai-bagai-bagi penyelesaian.
9. Sebagai satu kaedah berkomunikasi dan berinteraksi.
10. Meningkatkan perkembangan bahasa dan perbendaharaan kata kanak-kanak.



Kesimpulannya, dengan bermain kanak-kanak dapat:
• Menggunakan lima deria
• Bergerak
• Berfikir
• Berkomunikasi
• Eksperimen atau uji kaji
• Membuat andaian dan keputusan
• Meluahkan perasaan marah, geram dan gembira
• Berinteraksi dengan persekitaran
• Kematangan bersosial


Urutan Perkembangan Bermain
Tingkah laku bermain terbahagi kepada enam kategori:
1. Kosong
2. Solitari
3. Pemerhati
4. Sejajar
5. Perkongsian
6. Bersama atau cooperative
Apabila kanak-kanak mula bermain, mereka bermain sendirian dan terlibat dalam permainan solitari. Sebagai pemerhati kanak-kanak melihat orang lain bermain. Dalam kedudukan bermain sejajar, kanak-kanak bermain bersebelahan dengan kanak-kanak lain dan biasanya gembira bersama kanak-kanak itu. Walau bagai¬manapun dia lebih berminat dengan aktivitinya sendiri. Bermain secara berkongsi adalah apabila kanak-kanak bertambah minat dalam bermain dengan kanak-kanak lain, di mana dua atau tiga orang main bersama dalam kumpulan tetapi kumpulan dan aktiviti yang dilakukan sentiasa berubah. Permainan bersama pula berlaku apabila saiz kumpulan itu bertambah besar iaitu antara dua hingga lima orang, biasanya berlaku pada kanak-kanak antara umur lima hingga lapan tahun.
Menurut Bee (1985) pola permainan kanak-kanak berubah dengan jelas daripada usia satu hingga tujuh tahun. Beliau menyatakan terdapat sekurang-kurangnya tujuh jenis pola ataupun peringkat permainan kanak-kanak, antaranya:
Main pura-pura atau olok-olok
Kanak-kanak mula menggunakan objek untuk mewakili sesuatu yang lain. Tanda yang pertama dapat dilihat apabila kanak-kanak menggunakan sudu mainan untuk menyuap dirinya ataupun sikat mainan untuk menyikat rambut¬nya. Alat mainan itu digunakan seperti untuk kegunaan sebenar dan aksinya masih ditujukan kepada diri sendiri, dan sifat kepura-puraan jelas kelihatan.
Mainan pura-pura atau olok-olok gantian
Dalam lingkungan umur tiga tahun, kanak-kanak membuat perubahan besar dalam cara bermain dan menghuraikan objek untuk mewakili sesuatu yang benar-benar berlainan. Mereka mungkin menyikat rambut anak patung dengan botol susu dengan mengatakan botol itu adalah sikat ataupun menggunakan penyapu sebagai kuda ataupun membuat trak menggunakan blok. Bentuk permainan yang awal menggunakan alat mainan untuk tujuan sebenar masih wujud. Tetapi di kalangan kanak-kanak sebanyak 20% cara mainan olok-oloknya adalah baru dan lebih rumit.





Penghuraian objek
Kanak-kanak masih menggunakan objek untuk kegunaan cara praktikal, tetapi cara mereka berpura-pura lebih rumit. Contohnya menyuap anak patung menggunakan sudu mainannya, menyikat rambutnya, dan memakai dan me¬nanggalkan baju. Kanak-kanak dalam lingkungan umur 18 hingga 24 bulan banyak menunjukkan cara permainan ini.
Main sosiodrama
Pada umur empat hingga lima tahun kanak-kanak mula bermain peranan. Mereka bermain 'mak-mak',mak-ayah' ataupun 'main doktor'. Kadang-kadang cerita yang dilakonkan begitu luas dan kanak-kanak biasanya seronok me-lakukannya. Dengan bermain peranan kanak-kanak lebih menyedari bagaimana perkara atau objek dilihat ataupun dirasainya oleh orang lain. Ini menunjukkan sifat tumpuan diri atau egosentrik semakin berkurang.

Menyedari peranan
Kanak-kanak enam tahun bukan sahaja mencipta 'drama', tetapi juga menerang dan melabel peranan yang dimainkan, contohnya permainan doktor dan pesakit. Biasanya, mereka merancang permainan ini lebih awal dan menetapkan siapa yang akan memainkan peranan tertentu. Situasi demikian menggambarkan perkembangan kognitif yang semakin meningkat dan biasanya kelihatan pada umur enam tahun ataupun lebih.





Main berperaturan
Pada peringkat sekolah rendah, main pura-pura mula hilang dan diganti dengan permainan yang lebih kompleks dengan peraturan yang spesifik seperti main gulf dan main getah. Pola permainan sebelum ini banyak melibatkan peraturan yang spontan, tetapi semasa di sekolah rendah, kanak-kanak bermain permainan yang mempunyai peraturan yang sudah dipersetujui dan ditetapkan.



Kriteria Memilih Alat
Dalam menyediakan alat kelengkapan, kriteria pemilihan seperti berikut perlu digunakan:
1. Untuk umur berapakah alat mainan itu sesuai?
2. Adakah material pembuatannya sesuai?
3. Adakah saiznya sesuai?
4. Adakah bentuknya sesuai untuk digunakan?
5. Adakah warnanya menarik
6. Adakah permukaan mudah dicuci?
7. Adakah permukaan tahan lama?
8. Adakah alatan itu cukup kuat?
9. Adakah bentuk sudutnya licin, bulat dan tidak tajam?
10. Adakah cat yang digunakan selamat?
11. Adakah alatan itu mudah terbakar?
12. Adakah alatan itu lasak?
13. Bolehkah alatan itu digunakan untuk lebih daripada satu cara?dan lebih daripada seorang kanak-kanak?
14. Adakah alatan itu merangsang perasaan ingin tahu, minat, manipulasi, inisiatif, daya usaha, penyelesaian masalah, imaginasi, dan daya kreatif kanak-¬kanak?
15. Adakah ia dapat membantu perkembangan koordinasi motor, kebebasan ber¬gerak, kemahiran?
16. Adakah ia dapat membantu membina teknik dalam menulis, membaca dan mengira?
17. Adakah ia menggalakkan kebebasan penerokaan. Adakah ia menggalakkan aktiviti kumpulan, perhubungan sosial ataupun perhubungan interpersonal?

Keperluan Ruang Permainan dan Peralatannya
Aktiviti luar kelas memberi banyak peluang untuk kanak-kanak menjalankan aktiviti fizikal, penerokaan, penemuan dan pembelajaran. Kanak-kanak memerlukan kawasan luar kelas yang mudah dimasuki, cukup luas, menarik dan. selamat. Menurut National Association for the Education of Young Children atau NAEYC, luas kawasan permainan luar yang minimum bagi seorang kanak-kanak adalah 75 hingga 100 kaki persegi. Sekiranya luas kawasan luar terhad, aktiviti mainan luar perlu dijadualkan secara bergilir-gilir bagi memberi peluang kepada semua kanak-kanak bermain. Kawasan permainan luar perlu ada ruang seperti berikut:
1. Kawasan teduh dan panas yang seimbang
2. Kawasan yang bersimen supaya alat mainan dapat dinaiki, ditolak ditarik dan dibina.
3. Kawasan terbuka dan tertutup yang seimbang.
4. Kawasan yang berumput untuk berlari, melompat dan sebagainya.
5. Kawasan untuk binatang kesayangan, tanaman dan aktiviti menggali.
6. Kawasan untuk aktiviti bermain pasir dan manipulatif.
7. Kawasan untuk bermain air.

Di samping itu alatan permainan luar yang lain seperti buaian, papan lungsur, monkey-bar, terowong, pondok, papan pengimbang, kuda kayu, tangga, bola, tali, alatan menanam, meja air dan sebagainya boleh juga diadakan.




Ruang dalam Bangunan
Untuk aktiviti dalam kelas, ruang yang perlu disediakan bagi seorang kanak-kanak adalah di antara 35 hingga 60 kaki persegi. Ruang yang disediakan dalam kelas perlu cukup bagi menempatkan berbagai-bagai jenis alatan. la juga penting supaya aktiviti dapat dijalankan dengan baik dan membolehkan kanak-kanak bebas ber¬gerak. Oleh itu guru perlu menyusun alat kelengkapan dalam kelas dengan bijak supaya ruang benar-benar digunakan dengan baik.
Antara alatan yang perlu disediakan di dalam kelas seperti alatan memanjat yang mudah, blok, alat pasang suai, alatan mainan drama. Meja dan alat pertukangan, alat memasak, manipulasi, 'easel' dan sebagainya. Alatan yang disediakan biasanya disesuaikan dengan sudut-sudut pembelajaran yang dirancang oleh guru.




Penyeliaan
Guru dan pembantu di Taska atau Tadika perlu sentiasa mengawasi dan menyelia kanak-kanak semasa aktiviti di dalam dan di luar kelas. Demi keselamatan, kanak¬kanak tidak boleh dibiarkan sendirian tanpa diawasi. Mereka perlu dibimbing dalam aktiviti-aktiviti yang mereka jalankan.
Bagi membantu mereka menjalankan aktiviti, guru ataupun pembantu boleh mengambil peranan kecil untuk beberapa ketika sahaja dalam aktiviti mainan kanak-kanak. Dalam melakukan demikian guru ataupun pembantu boleh me-negaskan konsep atau idea baru yang ditemui, di samping itu ia juga dapat menambah keseronokan kanak-kanak dalam aktiviti yang mereka jalankan. Hindar¬kan atau ketepikan objek yang dapat menyebabkan kanak-kanak terjatuh. Dari semasa ke semasa ingatkan kanak-kanak peraturan yang ditetapkan, contohnya:

1. Kita berjalan di dalam kelas, dan tidak berlari.
2. Kita menunggu giliran untuk mendapatkan sesuatu alat permainan, dan tidak merampasnya daripada kawan ataupun berebut mainan.
3. Kita menggunakan alatan untuk bermain, dan bukan memukul kawan.
4. Kita menggunakan kedua-dua tangan kita untuk memanjat dan meninggalkan alatan mainan seperti anak patung, blok di atas tanah apabila memanjat.
5. Kita melungsur di atas papan lungsur dan bukan memanjat di atas papan gelungsur.
Peraturan Permainan
Semasa permainan bebas:
1. Dua orang kanak-kanak sahaja boleh naik gelongsor dalam satu masa. Naik ikut tangga dan kanak-kanak tidak dibenarkan untuk naik melalui depan gelongsor.
2. Semasa bermain buaian, buaian tidak perlu diayun oleh orang lain, kerana berbahaya. Jangan sekali-kali berada di belakang buaian semasa rakan lain sedang bermain buaian.
3. Enam kanak-kanak sahaja dibenarkan bermain buaian pusing, kanak-kanak lain hendaklah berdiri dua meter daripada tempat buaian.
4. Jangan sesekali memasukkan mainan yang kecil seperti lego ataupun manik ke dalam mulut, hidung ataupun telinga.
5. Pasir hanya dimainkan di dalam bekas pasir. Jangan mengeluarkan pasir dari bekasnya. Tidak dibenarkan membaling pasir kepada kawan.
6. Contohnya, ada kanak-kanak membaling pasir pada rakannya semasa bermain pasir. Sedangkan peraturan-peraturan bermain luar termasuk bermain pasir sudah diberitahu semasa peringkat awal persekolahan iaitu tidak dibenarkan sekali-kali membawa keluar pasir daripada bekas pasir, membalingnya keluar ataupun mem¬baling ke arah kawan, kerana ia dapat menyebabkan pasir masuk ke dalam mata serta rambut dan pakaian kotor.

No comments: