terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar

terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar
aku nak jadi hamba Allah yang bertaqwa kepada Nya

Sunday, July 5, 2009

media pengajaran

Kertas kerja ini akan membincangkan betapa pentingnya penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam media penyiaran dari sudut pandangan akademik. Dari perspektif pengamal teknologi pendidikan, media merupakan antara bahan pengajaran dan pembelajaran yang kerap digunakan dalam aktiviti bilik darjah. Media dalam pelbagai bentuk juga telah berjaya dibuktikan melalui penyelidikan sebagai satu bahan pengajaran dan pembelajaran yang efektif dalam meningkatkan kefahaman pelajar dalam suasana pengajaran. Media juga telah dapat dibuktikan sebagai satu alat bantu mengajar yang juga dapat memudahkan penyampaian pengajar dan juga meningkatkan tahap penerimaan pembelajaran pelajar. Penggunaan bahasa yand betul bukan sahaja memudahkan proses penyampaian tetapi juga membantu dalam penerimaan pembelajaran yang tepat. Bahasa yang digunakan dalam media juga mencerminkan kekayaan budaya yang unik. Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam media penyiaran bukan sahaja setakat membantu menyampaikan pengajaran/pembelajaran tetapi turut menyatupadukan bangsa serta menyalurkan dan mempertahankan budaya yang unggul.







Pengenalan



Media penyiaran bukan sahaja menjadi bahan penyampai maklumat malah sebagai satu sumber hiburan yang diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Hampir setiap rumah mempunyai sekurang-kurang satu saluran media penyiaran. Ini bukan hanya terhad kepada rumah, tempat bekerja, tempat umum malah kenderaan persendirian dan umum mempunyai alat penyiaran yang semakin hari semakin canggih.



Amat menarik saluran tv dan radio bukan hanya dapat ditonton di rumah malah di tempat awam sebagai satu aktiviti menunggu (lapangan terbang, bank, pejabat kerajaan, klinik, hospital, dsb.). Di tambah dengan kemudahan video dan harga peralatan yang makin menurun (VHS, VCD, DVD), format media ini makin popular dewasa ini. Minat pada media ini tidak terhad kepada peringkat umur ataupun tahap pendidikan. Media ini tidak mengenal usia, latarbelakang atau pendidikan, setiap lapisan ada bahan yang sesuai untuk ditonton.



Jadi tidak hairanlah sekiranya media penyiaran merupakan satu bahan yang senang dan kerap diterima pakai dalam pengajaran dan pembelajaran. Penerimaan ini bukan saja terhad kepada tenaga pengajar malah pelajar sendiri. Penggunaan bahan pengajaran yang disenangi pengajar dan pelajar secara tidak lansung dapat menjaminkan keselesaan penggunaan bagi kedua-dua pihak.



Media dengan kombinasi pergerakkan, warna dan suara dalam banyak perkara dapat mendramatikkan idea lebih baik dari setengah medium yang digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Pengalaman pembelajaran tidak lagi terbatas dalam suasana bilik darjah. Pelajar dapat mempelajari sejarah silam, menjelajahi dunia atau melawati angkasa lepas tanpa perlu menapak keluar dari bilik darjah. Media dengan ini telah dapat memberikan satu pengalaman yang berbeza yang mungkin agak sukar dinikmati sepanjang hayat. Objekitif pembelajaran kognitif, affektif, dan kemahiran motor dapat dicapai dengan menggunakan media sebagai alat mengajar atau belajar.



Setiap bahan yang digunakan perlulah dinilai dengan teliti agar bahan yang digunakan itu efektif dan membantu meningkatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Bahan yang dipilih perlu berjaya mencapai objektif yang telah disarankan diawal setiap pengajaran.

Atribut yang terdapat pada media





Memampatkan masa


Kejadian yang pada kadar biasa memerlukan masa yang panjang boleh dipadatkan kepada jangka masa yang singkat. Contohnya perjalanan matahari yang mungkin memakan masa beberapa jam dapat disingkatkan pada hanya beberapa saat sahaja.



Memanjangkan masa


Media ini dapat memperlihatkan sesuatu kejadian yang berlaku secara begitu pantas dengan menggunakan kaedah teknik gerak perlahan yang membolehkan sesuatu kejadian itu dapat di’lambatkan’ atau di’perlahankan’ agar dapat dilihat dengan mata kasar. Contohnya, pergerakkan sayap seekor burung dapat diperlahankan untuk menunjukkan pergerakkan sayap itu pada setiap kali.



Manipulasi ruang



Penglihatan Mikro dengan memperlihatkan sesuatu objek dari jarak yang terdekat. Juga memberi peluang untuk melihat dari penglihatan Makro dengan memperlihatkan sesuatu objek dari jarak yang jauh. (contoh: bumi dari angkasa lepas).

Kelebihan yang terdapat pada media



Teknik pergerakkan

Imej yang bergerak mempunyai kelebihan dari imej yang kaku dari segi menggambarkan sesuatu konsep atau kejadian.



Proses

Media amat mudah untuk digunakan dalam memaparkan sesuatu proses atau operasi untuk memudahkan kefahaman.



Pemerhatian yang selamat

Media juga boleh memaparkan rakaman visual mengenai fenomena yang berbahaya yang sukar dilihat atau dialami dengan selamat. Contohnya pengalaman melihat gunung berapi meletup dari dekat.



Pementasan peristiwa atau situasi

Peristiwa-peristiwa sejarah boleh dipentaskan semula untuk dipaparkan pada para pelajar.



Pembelajaran kemahiran

Media juga membolehkan pembelajaran yang memerlukan kaedah ulang tayang untuk menolong kefahaman konsep dengan lebih mendalam.



Pembelajaran sikap

Media berupaya untuk meninggalkan kesan emosi maka ia boleh digunakan untuk membentuk sikap dan nilai penonton. Filem/video bercorak dokumentari atau propaganda kerap digunakan untuk tujuan membuat perubahan dalam pemikiran penonton.



Penyelesaian masalah

Media juga boleh digunakan untuk tujuan memaparkan situasi dengan memberi peluang penonton membuat penyelesaian sendiri. Media boleh digunakan untuk mempersembahkan sesuatu masalah atau situasi tanpa memberi jalan penyelesaian pada penonton.



Kefahaman budaya asing

Media dapat memberi peluang kepada penonton untuk mempelajari dan memahami budaya asing.



Aplikasi Media dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Filem dan video boleh digunakan untuk pembelajaran kognitif, afektif dan kemahiran motor. Atribut yang terdapat pada media dapat mendedahkan pelajar kepada situasi-situasi yang mungkin tidak dapat dialami di dalam bilik darjah. Pembelajaran tidak lagi terhad kepada bilik darjah. Pelajar-pelajar diberi pendedahan kepada situasi-situasi yang tidak dapat dibawa ke dalam bilik darjah. Kaedah penggunaan media dapat mengurangkan perbelanjaan untuk mengendalikan lawatan sambil belajar. Malah penggunaan media ini dapat membawa para pelajar kemerata pelusuk dunia, melihat dan mempelajari kehidupan budaya asing.



Pembelajaran Kognitif

Pelajar boleh menonton pementasan kisah silam, peristiwa sejarah atau rakaman sebenar. Program dokumentari boleh digunakan untuk memberi penekanan atau keterangan lanjut mengenai sesuatu topik yang berkaitan dengan pelajaran dengan gaya dan persembahan yang lebih menarik berbanding buku dan penyampaian kuliah.



Pembelajaran Afektif

Ini berkaitan dengan pembentukan sikap. Sikap agak senang dipupuk dengan menggunakan media seperti video dalam meninggalkan kesan atau impak terhadap perasaan dan emosi penonton. Kerap kali digunakan dengan tujuan membentuk sikap, perangai individu mahupun masyarakat keseluruhannya. Kefahaman budaya dan masyarakat juga dapat dicapai dengan dibantukan dengan penggunaan media.



Pembelajaran Motor

Kemahiran motor merupakan satu pembelajaran yang lebih senang dipelajari sekiranya pelajar bukan saja dapat mendengar tetapi juga dapat melihat perkara yang perlu dilaksanakan. Contoh dalam pembelajaran yang memerlukan pelajar menjalani satu proses langkah demi langkah, video amat sesuai digunakan untuk memaparkan keadaan sebenar kepada pelajar semasa proses pembelajaran berlaku. Pembelajaran kerap kali berlaku hanya dengan meniru keadaan atau perlakuan. Media ini juga mempunyai ciri ulang tayang yang amat berkesan dalam melatih pelajar untuk melaksanakan pergerakkan yang diperlukan.



Contoh penggunaan dalam bilik darjah



Pendidikan Bahasa

Bahan media boleh digunakan untuk sebutan dan pengunaan. Bahasa yang digunakan dapat didemonstrasikan melalui drama mahupun dokumentari. Paling menarik ialah menggunakan lagu yang kerap berkumandang di radio untuk tujuan pengajaran sebagai contohnya, cara menulis pantun. Tidak salah untuk menggunakan lagu-lagu yang diminati sebagai satu kaedah pengajaran yang berlainan dan menarik.



Pendidikan Jasmani

Pendidikan Jasmani kerap menggunakan teknik ‘meniru’. Pelajar kerap diajar untuk melihat dan cuba meniru teknik seperti bermain tennis. Cara memegang raket dan menghayun semua ini dapat diajar secara semuka mahupun dengan menggunakan tayangan video. Permainan bola jaring, bola tampar juga dapat menggunakan teknik gerak perlahan.



Pendidikan Sains

Sains merupakan antara contoh subjek yang tiada had. Semua bahan-bahan yang berkaitan dengan kurikulum dapat dikumpulkan untuk menerangkan konsep yang abstrak dengan lebih mudah. Video juga boleh digunakan sebagai bahan perbincangan atau menarik minat pelajar pada topik yang baru.



Pendidikan Alam Sekitar

Dokumentari mahupun drama yang melibatkan isu-isu alam sekitar boleh ditayangkan untuk meninggalkan minat mahupun motivasi pelajar untuk lebih mendalami isu yang sedang hangat dibincangkan dalam bilik darjah mahupun dalam suasana sebenar. Contohnya, lapuran berita tentang isu-isu yang berkaitan dengan topik berkaitan dengan alam sekitar: (hakisan, pencemaran udara, jerebu, sbg.).

Penggunaan media dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran tidak tertakluk kepada subjek tetapi hanya terhad kepada kreativiti guru dan pelajar sendiri.





Peranan Bahasa Kebangsaan dalam penyiaran



Sebagai seorang pengamal teknologi pendidikan dan pengamal media dalam pengajaran dan pembelajaran, seseorang bergantung kepada bahan sedia ada untuk digunakan dalam bilik darjah. Maka amat pentinglah agar bahan yang digunakan bukan saja menepati kandungan kurikulum tetapi juga bahasa yang digunakan senang difahami dan juga penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul.



Bahan yang digunakan dalam pengajaran bukan saja menyampaikan kandungan kurikulum tetapi juga memberi penerangan dan juga latihan penggunaan bahasa yang betul. Kekadang kala terjemahan dari bahasa asing tidak tepat, ini bukan sahaja memberi isi kandungan yang salah tetapi telah menimbulkan satu beban kefahaman kepada pengajar dan pelajar.



Bahasa yang digunakan dalam media penyiaran adalah bahasa yang disiarkan pada umum, jadi penggunaan bahasa yang tepat harus diambil berat. Terjemahan yang disiarkan juga melambangkan kekayaan bahasa yang ada pada bahasa kebangsaan berbanding dengan bahasa asing. Tetapi syaratnya, mestilah terjemahan itu menepati inti pati mesej yang ingin disampaikan.



Juga bahan yang disiarkan juga memberi latihan sebutan yang betul. Jadi tidak wajar sekiranya ada perbezaan dalam sebutan di antara media penyiaran yang terlibat. Seketika dulu, sebutan yang berbeza menimbulkan debat dalam aktiviti pelajar dan menimbulkan beban mental yang amat sangat sebab tiada satu keseragaman bahasa yang menyeluruh.



Media penyiaran juga terlibat dalam pemperkenalkan istilah-istilah baru yang mungkin akan menjadi amalan umum. Contohnya, dengan peningkatan penggunaan teknologi maklumat (Multimedia, IT, ICT dan sbg) terjemahan istilah masih belum diseragamkan. Ini amat membebankan pengajar dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.



Bahasa Kebangsaan haruslah diterima sebagai satu mekanisma untuk bukan sahaja bertujuan meningkatkan perpaduan berbilang kaum, kesedaran nasionalisma tetapi juga untuk memertabatkan bahasa kebangsaan di mata dunia. Bahasa Kebangsaan dalam media penyiaran akan secara tidak lansung bukan sahaja mempertengahkan program hiburan, isu-isu semasa tetapi juga mempertengahkan Bahasa Kebangsaan.



Kesimpulan Kepentingan Bahasa dalam Media


Penggunaan bahasa yang betul bukan sahaja memudahkan proses penyampaian tetapi juga membantu dalam penerimaan pembelajaran yang tepat.



Bahasa yang digunakan dalam media juga mencerminkan kekayaan bahasa dan budaya yang unik.



Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam media penyiaran bukan sahaja setakat membantu menyampaikan pengajaran/pembelajaran tetapi turut menyatupadukan bangsa serta menyalurkan dan mempertahankan budaya yang unggul.



Mengekalkan identiti masyarakat yang unik dan pelbagai kaum yang disatukan dengan penggunaan bahasa kebangsaan.



Penting dalam memperkenalkan istilah-istilah baru yang sesuai diguna pakai menerusi rancangan-rancangan tertentu – dokumentari, majalah.



Radio/audio, lebih kepada sebutan yang betul dan pembentuk ayat dan penggunaan istilah yang sesuai.





Rujukan



Heinich, R., Molenda, M., Russell, J. & Smaldino, S. (1999). Instructional Media and Technologies for Learning. Prentice-Hall.



Karthigesu, R. (1995). Dasar penyiaran Malaysia dalam Era Pascakolonial ke arah status negara maju. Siri Syarahan Perlantikan Profesor 1994/Bil 2, Universiti Sains Malaysia.



Newby, T., Stepich, D., Lehman, J & Russell, J. (2000). Instructional Technology for Teaching and Learning: Designing Instruction, Integrating Computers and Using Media. Prentice-Hall, Inc.



Razali Nor. (1997),Teknologi Pendidikan 2: Media Unjuran dan Media Elektronik. Percetakan Seasons, Sdn. Bhd.



Yusup Hashim. (1997). Siri Pendidikan Fajar Bakti:Media Pengajaran untuk Pendidikan dan Latihan. Fajar Bakti.



Yusup Hashim. (1998). Siri Pendidikan Fajar Bakti:Teknologi Pengajaran. Fajar Bakti.

No comments: