terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar

terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar
aku nak jadi hamba Allah yang bertaqwa kepada Nya

Monday, May 25, 2009

Aktiviti Pemulihan Tulisan

4.0 Aktiviti Pemulihan Tulisan

4.1 Cara-cara pelaksanaan rancangan pemulihan

Pada masa ini, rancangan pemulihan yang sedang dijalankan di sekolah ditumpukan di sekolah rendah. Murid-murid yang tidak dapat mengikuti pengajaran guru bersama murid lain diasingkan, dan seorang guru pemulihan ditugaskan untuk mengajar murid-murid ini. Beberapa waktu pelajaran telah diasingkan untuk memberi pengajaran secara individu kepada murid-murid ini. Kelas pemulihan ini biasanya diberi nama kelas lembam (yang kebetulannya membawa berbagai-bagai makna negatif). Guru pemulihan yang ditugaskan akan membuat penyelidikan dan penyiasatan latarbelakang murid, supaya pengajaran benar-benar sesuai untuk murid tersebut.
Peperiksaan penilaian darjah tiga di sekolah rendah pula ialah bertujuan mengesan kelemahan murid untuk dibetulkan, atau diberi pemulihan dalam darjah empat. Setakat mana perkara ini dilaksanakan terpulanglah kepada kemampuan dan kesanggupan guru-guru darjah empat. Selaras dengan keperluan kurikulum di sekolah rendah yang mementingkan kebolehan membaca, menulis dan mengira, berikut dikemukakan cara-cara pelaksanaan rancangan pemulihan dalam 3M.
Sebelum Sesutu rancangan pemulihan dapat dijalankan, langkah yang pertama sekali ialah untuk mengesan dan mengasingkan murid yang memerlukan pengajaran pemulihan dalam bidang membaca, menulis dan mengira. Langkah ini diberi nama saringan. Kemudian, setelah murid-murid tersebut dikesan dan diasingkan, langkah yang kedua ialah diagnosis, iaitu menentukan jenis kelemahan secara khusus dalam sesuatu bidang sahaja, sama ada bidang membaca, menulis atau mengira. Diagosis ini akan memberi petunjuk kepada guru mengenai langkah-langkah khusus dalam pengajarannnya untuk mengatasi kelemahan murid tersebut.





4.2 Pemulihan membaca

4.2.1 Saringan dan diagnosis.
Beberapa cara dapat digunakan untuk membuat tindakan saringan dan diagnosis untuk mengesan dan menentukan kelemahan membaca. Cara-cara ini adalah seperti berikut :
1. memerhatikan murid yang sedang membaca.
2. menilai jawapan mereka dari soal selidik guru.
3. menggunakan buku bacaan yang telah dikelaskan.
4. mengkaji pergerakan mata murid ketika membaca.
5. memberi ujian tara.
6. memberi ujian yang direka oleh guru.
7. memilih murid untuk pengajaran pemulihan (atau tambahan).
Sebagai panduan, biasanya lebih daripada satu cara digunakan untuk mengesan dan menentukan kelemahan membaca.

1. Memerhatikan murid yang sedang membaca.
Cara-cara mengesan murid yang mempunyai masalah membaca ialah dengan memerhatikan murid yang membuat perkara berikut :
a. Membaca sesuatu muka surat terlalu lama, iaitu murid tersebut tidak menukar muka surat yang dibaca dengan kadar sepatutnya.
b. Menggerakkan bibir ketika membaca yang sepatutnya tidak perlu.
c. Menggunakan jari atau pensil sebagai petunjuk ketika membaca sesuatu barisan.
d. Menggerakkan kepala (dan bukan mata) ketika membaca.
e. Tidak duduk senang, selalu bergerak-gerak dan melihat keluar ketika membaca.
Perbuatan atau tabiat diatas mungkin menunjukkan bahawa bahan bacaan yang sedang dibaca oleh murid tidak sesuai, atau tidak diminatinya. Walaupun demikian, perkara-perkara seperti diatas haruslah dikaji dengan teliti oleh guru untuk menetukan perkaitan diantara tabiat tersebut dengan sesuatu kelemahan membaca.

2. Menilai jawapan dari soal selidik mengenai tabiat membaca.
Guru boleh menyediakan dan memberikan soal selidik mengenai tabiat membaca kepada murid. Jawapan-jawapan dari soal selidik ini dapat digunakan oleh guru untuk mengesan sesuatu masalah khusus dengan lebih lanjut. Tujuan dan matlamat sesuatu rancangan membaca ialah agar murid mempunyai tabiat membaca, dan terus membaca serta ia akan dapat kepuasan dari membaca. Berikut diturunkan satu contoh soal selidik yang dapat digunakan oleh guru.


Nama murid : ……………………. Tarikh : ………………………..

1. Apa yang anda buat jika anda tidak berada di sekolah?
2. Adakah anda suka membaca majalah dan buku?
3. Apakah jenis buku yang anda suka baca?
Riwayat hidup
Pengembaraan
Cerita binatang
Dongeng
Berita
4. Namakan buku-buku yang telah anda baca pada tahun lalu dan
tandakan buku yang anda suka.
5. Dari manakah anda dapat buku untuk dibaca?
6. Majalah apakah yang selalu anda baca? Mengapa?
7. Kerja sekolah jenis apa yang anda suka?
8. Apakah cita-cita anda apabila dewasa?

3. Menggunakan buku yang telah dikelaskan
Jika ada buku yang telah dikelaskan mengikut darjah, maka murid yang disyaki mempunyai kelemahan membaca boleh disuruh membaca buku tersebut. Kemudian kefahaman murid boleh diuji dengan memberinya soalan-soalan berkaitan dengan perkara yang telah dibacanya. Cara ini harus dapat dibuat untuk beberapa peringkat, atau kelas bahan bacaan hinggakan murid tersebut benar-benar dapat membaca pantas dan faham bahan bacaan yang dibacanya. Biasanya, berbagai-bagai jenis bahan bacaan dikemukakan kepada murid tersebut, kerana bahan sains mungkin menimbulkan kerumitan, manakala bahan sejarah mungkin didapati lebih senang.

4. Mengkaji pergerakan mata ketika murid membaca.
Pakar-pakar psikologi telah mengkaji pergerakan mata ketika membaca. Dari kajian mereka, beberapa maklumat telah diperolehi. Antaranya adalah seperti berikut :
a. Ketika proses membaca, mata pembaca bergerak dalam satu siri lompatan di satu barisan tulisan.
b. Pembaca yang pantas akan membuat perhentian dan pematahan balik yang sedikit ketika membaca jika dibandingkan dengan pembaca yang lambat. Contohnya seorang murid darjah dua di Amerika Syarikat didapati telah membuat 200 perhentian (lompatan) untuk membaca 100 perkataan (20 perhentian untuk 10 perkataan), manakala seorang murid berkebolehan biasa di Gred 8 di Amerika Syarikat ( tingkatan 2 di Malaysia) membuat 93 perhentian untuk membaca jumlah perkataan yang sama. Dari kiraan ini, murid darjah dua tadi membuat 50 pematahan balik untuk 100 perkataan (5 pematahan balik untuk 10 perkataan), manakala murid tingkatan dua membuat 17 pematahan balik untuk 100 perkataan seperti yang digambarkan dalam rajah berikut :


Pergerakan mata ketika membaca untuk murid darjah dua.

10 perkataan

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10
l l l l l l l l l l
= 10 perhentian
= 15 pematahan balik

= 10 perhentian
l l l l l l l l l l
jumlah : 20 perhentian

5 pematahan balik

Pergerakan mata ketika membaca seperti ini adalah petunjuk semata-mata untuk beberapa proses yang berlaku dalam otak ketika membaca. Untuk pengajaran pemulihan dalam bidang membaca, tidaklah betul jika matlamat pengajaran pemulihan ialah untuk melatih pergerakan mata semata-mata. Rancangan pemulihan harus memberi pengalaman membaca kepada murid-murid tertentu. Rekod pergerakan mata seperti ini harus digunakan untuk mengesan dan menentukan kelemahan membaca dengan maklumat, atau bukti dari ujian dan cara mengesan yang lain.
Untuk mengira perhentian dan pematahan balik pergerakan mata, alat yang paling mudah dan paling murah ialah dengan menggunakan cermin biasa. Cermin diletakkan di sebelah kiri halaman buku, dan murid disuruh membaca halaman kanan. Guru berdiri di belakang murid dan mengira perhentian dan pematahan balik pergerakan mata murid tersebut ketika membaca. Untuk memudahkan pengiraan, perhentian dikira terlebih dahulu, dan pematahan balik dikira kemudian, atau sebaliknya. Dengan sedikit latihan cara ini akan menjadi mudah dan keputusan yang diperolehi amatlah tepat. Berikut diturunkan jumlah purata perhentian dan pematahan balik bagi murid-murid berkebolehan biasa dari Gred 1 hingga ke maktab di Amerika Syarikat. Jadual ini adalah untuk panduan kasar semata-mata, kerana data tempatan tidak diperolehi.

Purata pergerakan mata untuk murid-murid dari berbagai-bagai darjah.

Perhentian untuk 100 perkataan 1
250 2
200 3
175 4
140 5
125 6
120 7
115 Menengah atas 93 Maktab 80
Pematahan balik untuk 100 perkataan

60

50

40

30

25

23

21

17

10


5. Memberi ujian tara

Ada banyak ujian tara yang boleh digunakan untuk menilai peringkat membaca seorang murid, tetapi hampir kesemua ujian ini telah direka di Amerika Syarikat berpandukan data murid-murid disana. Tambahan pula ujian ini menguji pembacaan di dalam Bahasa Inggeris. Dengan itu, berikut diturunkan di antara ujian-ujian bacaan yang lazim digunakan untuk pengetahuan dan makluman sahaja.
a. “Gates Primary Reading Test” : Ujian ini sesuai digunakan untuk murid gred 1,2, dan 3. Masa pengujian ialah antara 15 hingga 25 minit.
b. “Gates Reading Survey for grades 3 to 10” : Ujian ini menguji empat aspek pembacaan iaitu perbendaharaan kata, peringkat kefahaman, kepantasan, dan ketepatan.
c. “Iowa Silent Reading Test” : Sesuai untuk menguji bacaan murid gred 4 hingga 8.
d. “SRA Reading Record” : Ujian ini sesuai digunakan untuk murid-murid gred 8 hingga 13. Ujian ini menguji 10 kemahiran membaca iaitu kadar kecekapan, kefahaman, maksud perenggan, membaca direktori, membaca peta, jadual, graf, membaca iklan, penggunaan indeks, perbendaharaan kata teknikal, makna ayat, dan perbendaharaan kata am.

6. Memberi ujian yang direka oleh guru
Berbagai-bagai cara mengesan dan menetukan kelemahan membaca dikalangan murid dapat dilaksanakan oleh guru dalam bilik darjah.
Untuk menguji kecekapan membaca, satu cara yang mudah boleh digunakan. Semua murid dalam bilik darjah disuruh membaca satu bahagian dari buku teks mereka yang belum dibaca mereka lagi. Semua murid disuruh mula membaca pada masa yang sama, dan disuruh membaca dengan cepat. Kemudian setelah 10 atau 15 minit, semua murid disuruh berhenti membaca, dan disuruh menandakan perkataan yang terakhir dibaca. Dari jumlah perkataan yang dibaca dan masa yang digunakan, kadar kecekapan membaca dapat dikira untuk semua murid dalam bilik darjah tersebut. Untuk menentukan bahawa murid faham bahan yang dibaca, mereka boleh disuruh menjawab soalan mengenai perkara yang dibaca. Bahan-bahan lain, selain dari buku teks seperti majalah, surat khabar, novel, atau bahan bacaan yang sesuai boleh digunakan. Sebaik-baiknya, semua murid harus membaca bahan yang sama. Untuk menguji kefahaman sahaja, amatlah baik jika masa yang digunakan oleh murid tidak dihadkan, kerana ujian tersebut bertujuan menguji sama ada murid benar-benar faham bahan yang dibacanya. Jenis soalan yang boleh digunakan untuk menguji kefahaman adalah seperti berikut :
a. Soalan yang mengukur kebolehan memahami fakta semata-mata.
b. Soalan yang mengukur kebolehan memahami fakta yang dimaksudkan, atau tidak begiti nyata dalam bacaan.
c. Soalan yang menguji sama ada murid dapat mengumpulkan maklumat penting dalam sesuatu perenggan.
d. Soalan yang menilai kebolehan membaca dan memahami soalan.
e. Soalan yang menguji pengetahuan murid mengenai makna perkataan.
Dari ujian-ujian ini, guru bilik darjah dapat membuat skel norma atau purata bagi pembacaan untuk darjahnya atau untuk sekolahnya.

7. Memilih murid untuk pengajaran pemulihan (tambahan)
Setelah murid diberi ujian ( berbagai-bagai cara lain ) untuk mengesan dan menentukan kelemahan membaca, guru harus memilih murid yang memerlukan pengajaran pemulihan. Walaupun demikian, perlu ditegaskan di sini bahawa semua murid perlu memperbaiki teknik membacanya, tidak kira sama ada murid tersebut perlu pengajaran pemulihan, atau tidak. Murid-murid yang berkebolehan biasa dan berkebolehan lebih tinggi dalam bilik darjahnya harus diberi pengajaran biasa. Untuk murid yang jauh ketinggalan dan tiada harapan untuk mengejar kemajuan rakannya dalam darjah yang sama. Mereka ini harus diberi pengajaran asing atau mereka harus disatukan dengan murid yang sama kebolehan untuk diberi pengajaran pemulihan. Perkara ini harus dimulakan pada awal tahun supaya masa tidak terbuang, dan pengajaran pemulihan dapat dimulakan awal-awal lagi.

4.3 Kaedah pengajaran pemulihan membaca dan penilaiannya.

4.3.1 Teknik am
Pengajaran pemulihan ( iaitu kaedah, rancangan dan penilaiannya) harus dilaksanakan berdasarkan maklumat dari saringan dan diagnosis. Jika kecacatan fizikal yang menyebabkan kelemahan itu ( masalah penglihatan, pendengaran, kekurangan makanan, atau zat makanan, atau penyakit teruk) maka masalah ini harus dirujuk kepada pihak berkenaan (klinik atau hospital). Kira-kira 95 % masalah penglihatan dapat diatasi dengan penggunaan kaca mata. Walau bagaimanapun, kerja pengajaran pemulihan harus jangan dimulakan kiranya masalah fizikal murid yang sepatutnya dapat dirawati, masih belum diberi pertolongan.
Jika saringan dan diagnosis menunjukkan bahawa murid tersebut amatlah lembab dari segi kebolehan mental, maka guru harus mengajarnya lebih perlahan dengan menggunakan contoh dan unit-unit konkrit dalam usaha membina perbendaharaan kata mereka. Oleh kerana murid lembab ini biasanya tidak suka membaca, kerana terpaksa membaca bahan bacaan yang terlalu susah untuknya, maka berikut dikemukakan langkah-langkah untuk panduan guru bagi mengatasi masalah ini.
a. Bincangkan perkara mengenai buku, di mana hendak mendapatkannya, dan maklumat-maklumat seronok yang terkandung di dalamnya.
b. Suruh murid membaca buku yang senang dan seronok baginya tanpa meminta ringkasan buku tersebut.
c. Tolong murid mencari dan memilih buku yang senang dan seronok baginya. Cerita pendek, dongeng dan riwayat yang mengandungi perbendaharaan kata terhad amatlah sesuai untuk murid ini.
d. Berikan projek kecil, atau aktiviti yang memerlukan pembacaan.
Jika masalah yang dihadapi oleh murid berpunca dari rumah, guru yang bijaksana mungkin dapat menemui ibu bapa murid tersebut untuk mengurangkan masalah ini jika masalah tersebut dapat dikawal.
Semua data yang dikumpulkan dari usaha saringan dan diagnosis harus dipertimbangkan dan digunakan untuk merancang sesuatu rancangan pemulihan. Setip murid yang lemah amatlah berbeza jika dibandingkan dengan murid lemah yang lain. Rancangan pemulihan dan seterusnya teknik mengajar haruslah berpandukan maklumat setiap murid dalam rancangan tersebut. Walau bagaimanapun, ada beberapa prinsip asas yang boleh digunakan.
a. Mulakan pengajaran di tahap kebolehan murid. Kesilapan yang sering dibuat oleh guru ialah menganggap bahawa seseorang murid itu mengetahui lebih daripada kebolehannya yang sebenar. Bahan yang baru dan lebih tinggi tidak dapat dipelajari selagi bahan asas belum dikuasai.
b. Murid harus diberitahu selalu mengenai kemajuannya. Kemajuan murid harus ditunjukkan kepada murid tersebut dengan menggunakan graf, carta atau rekod-rekod lain. Ini akan menggalakkan murid tersebut berusaha lagi.
c. Kerja, atau pelajaran yang diikuti oleh murid harus penting baginya dan mirip kepada keadaan sebenar. Latihan mengenai sesuatu semata-mata untuk latihan sahaja tanpa memasukkan perkara-perkara yang bermakna tidak akan menimbulkan kesan. Keperluan murid harus diambil kira.
d. Murid harus merasa puas mengikuti pelajarannya. Latihan-latihan yang dapat melahirkan rasa puas hati murid akan mempercepatkan proses pembelajarannya lagi.
e. Latihan-latihan yang banyak dan berbagai-bagai jenis harus diberikan. Murid memerlukan pengalaman yang baru.

4.3.2 Teknik khusus.
Beberapa teknik khusus boleh digunakan untuk pengajaran pemulihan dalam bidang membaca. Berikut diturunkan secara kasar teknik khusus yang boleh digunakan diikuti dengan pemerian tiap-tiap satu secara lebih terperinci.

4.3.2.1 Teknik pengajaran pemulihan membaca.
1. Menambahkan perbendaharan kata.
a. Menambahkan perbendaharaan kata yang dilihat.
b. Membaca selalu.
c. Penggunaan kamus.
d. Kajian perkataan secara sistematik.
e. Kajian punca perkataan.
2. Cara-cara mempelajari perkataan yang belum dikenali.
3. Menambahkan kadar kecepatan membaca.
a. Membaca untuk maklumat penting
i . Latihan
ii . Menyatakan tajuk utama
iii . Menyatakan idea pusat.
iv . Mencari ayat tajuk
v . Membaca sepintas lalu.
b. Membaca untuk maklumat terperinci.

I. Menambahkan perbendaharaan kata
Jika saringan dan diagnosis menunjukkan bahawa seseorang murid itu lemah dalam perbendaharaan kata, maka latihan latihan dalam perkara ini harus diaturkan. Ini adalah kerana aktiviti pembacaan bergantung berat kepada penguasaan makna perkataan yang mengcukupi.
a. Perbendaharaan kata yang dilihat. Sebelum memulakan seseorang murid dalam sebarang rancangan pemulihan membaca, guru harus memastikan bahawa murid tersebut dapat mengenal perkataan-perkataan yang sering terdapat dalam sebarang bacaan. Dalam Bahasa Inggeris ada dua ratus dua puluh perkataan yang mewakili lebih dari 50% dari semua bahan bacaan biasa. Senarai perkataan seperti ini biasanya terdiri dari sendi nama, sendi kata, nama, adjektif, adjektif, adverba dan berbagai-bagai permainan dapat direka oleh guru bersama dengan murid untuk menguasai perkataan-perkataan biasa ini. Perkataan-perkataan itu boleh ditulis diatas kad-kad, seperti daun terup, tiap-tiap satu perkataan diatas satu kad. Kemudian dua orang murid boleh bermain dengan kad-kad ini. Seorang menjadi pemain dan seorang lagi pembantunya. Kad-kad dicampurkan dan seorang pembantu akan mengambil satu kad lalu menanya pemain. Jika pemain dapat mengenal perkataan di kad tadi, maka kad tersebut disimpan, jika tidak kad itu diasingkan dan akan disebut oleh pembantu, diikuti oleh pemain. Maklumat mengenai kemajuan pemain akan dicatatkan pada tiap-tiap akhir permainan, iaitu berapa kali betul dan salah, hinggakan semua perkataan itu dikenali.
b. Membaca selalu. Cara yang paling berkesan untuk menambahkan perbendaharaan kata ialah dengan membaca selalu, dan membaca berbagai-bagai bahan bacaan. Dalam konteks sesuatu ayat, makna perkataan yang tepat mudah dipelajari. Pelajaran mengenai makna perkataan harus diperkaitkan secara langsung kepada ayat dalam konteks yang dibaca dan tidak boleh dikaji secara sendiri.
c. Penggunaan kamus. Murid harus digalakkan menggunakan kamus. Bagi murid sekolah rendah, kamus yang mudah harus digunakan, tanpa simbol dan definisi makna yang membingungkan. Ujian, atau latihan yang memerlukan kemahiran menggunakan kamus boleh juga digunakan. Contohnya adalah seperti berikut :
i . Aturkan perkataan-perkataan sebagaimana ia mungkin terdapat didalam kamus.
ii . Cari makna yang sesuai dari kamus bagi perkataan yang bergaris.
d. Kajian perkataan secara sistematik. Kesan pembacaan dapat ditambahkan lagi dengan satu rancangan yang sistematik mengenai perkataan. Perkataan yang susah mudah dipelajari dengan menggunakan latihan yang sesuai senarai berbagai-bagai latihan yang boleh digunakan adalah seperti berikut :
i . Membuat senarai seerti, berlawanan, dan hononim( perkataan yang sama ejaan dan bunyi tetapi berlainan makna ).
ii . Mencari perkataan lain untuk perkataan yang terlalu sering digunakan.
iii . Membuat pasangan perkataan di satu senarai dengan senarai yang lain.
iv . Mengisi tempat-tempat kosong dalam perenggan dalam perkataan dalam senarai.
v . Menukar perkataan khusus kepada perkataan am.
vi . Membuat senarai perkataan yang mewakili satu keluarga perkataan yang dibina dari punca yang sama.
vii . Membuat pasangan perkataan dalam jadual tertentu – seperti nama dengan adjektif, kata kerja dengan adverba, nama dengan kata kerja.
viii . Menyimpan buku nota untuk perkataan, tiap-tiap satu perkataan diikuti dengan ayat.
ix . Memilih gambar dan membuat senarai perkataan yang sesuai dengan gambar tersebut.
x . Mencari perkataan yang sesuai untuk perkataan percakapan biasa, seperti ‘member’, ‘relax’, ‘best’, dan sebagainya.
xi . Menggantikan perkataan bergaris dengan perkataan serti.
Bermacam-macam lagi latihan boleh direka atas bijakpandai dan pengalaman guru. Latihan seperti ini boleh digunakan untuk berbagai-bagai peringkat, atau tahap kebolehan membaca. Tahap yang rendah akan menggunakan perkataan yang mampu digunakan oleh murid ditahap itu.
e. Kajian punca perkataan. Sama ada Bahasa Inggeris, atau Bahasa Malaysia banyak perkataan menggunakan imbuhan. Kajian makna asal sesuatu perkataan, iaitu tanpa menggunakan imbuhan akan memudahkan mengingati makna berbagai-bagai bentuk perkataan itu kemudian. Kemudian makna imbuhan pula harus dikaji supaya makna sesuatu ayat itu jelas difahami dari segi makna asal dan bersama dengan imbuhannya.

II. Cara-cara mempelajari perkataan yang belum dikenali.
Murid yang kurang cekap membaca biasanya lebih banyak mengetahui makna perkataan, tetapi tidak dapat mengenalnya secara tulisan. Dalam keadaan ini, guru harus memberi murid pelajaran fonik (atau bunyi biasa). Banyak cara boleh digunakan untuk belajar menyebut bunyi perkataan, sama ada dalam Bahasa Inggeris, atau Bahasa Malaysia. Satu daripada cara-cara itu adalah seperti berikut :
w….. Apakah bunyi yang anda sebut apabila meniup lilin?
r…... Bagaimanakah bunyi kucing berehat?
Sy… Apakah bunyi yang anda sebut untuk memberi isyarat supaya
Jangan bisang?
C …. Apakah bunyi yang anda sebut apabila bersin?
Ow…Apakah bunyi yang anda sebut apabila kesakitan?
O …. Apakah bunyi yang anda sebut apabila sesuatu yang tidak disangka
berlaku.
Gr… Apakah bunyi anjing apabila ia marah? (selain dari menyalak)
Banyak lagi bunyi yang dapat ditambahkan kepada senarai ini dari pengalaman guru bilik darjah.

III. Menambahkan kadar kecepatan membaca.
Apabila seseorang murid itu sudah mula pandai membaca, menambahkan kadar membacanya adalah perkara yang paling mudah. Kadar kecepatan membaca seseorang murid itu biasanya bergantung kepada tabiatnya. Berbagai-bagai cara telah dikemukakan dan digunakan dalam usaha menambahkan kadar kecepatan membaca.
a. Membaca selalu. Cara yang mudah dan yang baik untuk menambahkan kecepatan membaca iailah dengan membaca selalu bahan bacaan yang mudah dibaca dan yang seronok. Murid yang lambat membaca biasanya kurang membaca. Mereka hanya membaca buku teks sekolah yang memerlukan bacaan perlahan, dan perhatian sepenuhnya.
b. Penggunaan masa yang terhad. Cara yang kedua yang mudah digunakan untuk mempercepatkan kadar membaca ialah dengan menghadkan masa membaca. Katakan sesuatu cerita, atau rencana itu memerlukan setengah jam untuk dibaca dengan kadar biasa, hadkan masa ini kepada dua puluh minit pula. Dengan cara ini, pembaca terpaksa membaca pantas supaya rencana tersebut selesai dibaca pada masa yang terhad itu. Dalam mengikuti cara ini, pada mulanya setengah-setengah makna dalam rencana itu akan kabur sedikit, tetapi lama-kelamaan perkara ini dapat diatasi.
c. Penggunaan alat-bantu kadar membaca. Berbagai-bagai alat Bantu kadar membaca telah direka dan dijual di negara maju. Untuk kegunaan guru bilik darjah di negara ini, cara yang paling mudah dan murah untuk menambahkan kecepatan muridnya membaca ialah dengan menggunakan sekeping kad yang ditolak oleh guru, atau rakan murid. Sebelum menggunakan teknik ini, guru harus memastikan kadar pembacaan seseorang murid terlebih dahulu. Katakan murid tersebut mengambil masa tujuh saat untuk membaca satu baris. Masa ini boleh dikurangkan kepada enam saat. Caranya seperti berikut :
i . Suruh murid membaca sesuatu bahan seperti biasa.
ii . Apabila murid tersebut telah membaca satu, atau dua baris, sekeping kad akan digunakan untuk menutup baris yang baru lalu.
iii . Untuk tiap-tiap satu baris,guru harus mengira enam saat, sama ada dengan menggunakan jam, atau dengan mengira seperti “satu-ribu-satu”, “ satu-ribu-dua”, dan sebagainya, hingga enam kali untuk enam saat.
iv . sedikit demi sedikit masa ini boleh dikurangkan agar kadar pembacaan murid tersebut bertambah cepat.
Berbagai-bagai alat lain boleh digunakan, tetapi kesemuanya menggunakan prinsip yang sama.

IV. Menambahkan kefahaman membaca
Tujuan utama semua rancangan membaca ialah untuk menambahkan kefahaman. Perkara yang diperkaitkan dengan kefahaman membaca ialah keadaan fizikal, rasa hati, kecerdasan akal, perbendaharaan kata, kadar membaca, pengalaman membaca, minat dan latihan dalam sesuatu bidang yang tertentu.
Panduan am untuk menambahkan kefahaman tidak dapat diberikan, kerana kefahaman membaca biasanya dikaitkan dengan isi kandungan, dan kecekapan tertentu. Walau bagaimanapun, beberapa keperluan membaca dapat dilatih oleh guru.
a. Membaca untuk maklumat penting. Biasanya, bukan semua perkara dalam sesuatu perenggan itu penting. Murid harus dapat membaca dan mengingat perkara yang penting sahaja. Perkara lain tidak perlu diingat, dan membaca perkara yang tidak penting ini dengan teliti adalah membuang masa semata-mata. Beberapa latihan untuk mencapai matlamat ini dapat dikemukakan oleh guru. Antaranya adalah seperti berikut.
i . Latihan kefahaman : seperti menanya soalan penting, maklumat penting, memberikan tajuk yang sesuai, dan sebagainya.
ii . Mengarang tajuk utama : seperti contoh tajuk di surat khabar.
iii . Menyatakan idea pusat : di dalam sesuatu perenggan. Berbagai-bagai bahan bacaan boleh digunakan untuk tujuan ini.
iv . Mencari ayat utama : latihan mencari ayat utama dalam sesuatu perenggan harus diberikan juga. Biasanya, murid tidak tahu bahawa kebanyakan perenggan mempunyai ayat utama yang biasanya terletak di permulaan, atau di akhir perenggan. Kadang-kadang ayat ini mungkin terletak dimana-mana sahaja dalam perenggan tersebut.
v . Membaca sepintas lalu : kebolehan membaca sepintas lalu harus diajar awal, khususnya untuk membolehkan murid yang sudah lancar membaca untuk memilih buku yang ingin dibacanya, atau untuk mencari maklumat penting. Membaca sebuah buku sepintas lal, bukanlah bermaksud membaca dengan penuh ertikata membaca. Apabila seseorang murid membaca sepintas lalu, ia hanya mencari maklumat yang dikehendakinya seperti, melihat jadual isi kandungan, dan melihat bab-bab tertentu secara kasar sahaja tanpa membaca tiap-tiap perkataan. Perkara-perkara kecil, seperti tajuk kecil, petikan dan sebagainya tidak perlu dibaca. Sebaik-baiknya sebelum membaca sesuatu bahan bacaan ( kecuali cerita yang seronok) maka lebih baik jika pembaca membaca bahan itu sepintas lalu secara kasar dahulu, kerana ini akan mengurangkan masa membaca bahan tersebut sepenuhnya, sebab bentuk keseluruhan bahan itu sudah diketahui.

b. Membaca untuk maklumat terperinci.
Kadang-kadang murid perlu juga membaca Sesuatu perkara dengan terperinci. Contohnya ialah membaca langkah-langkah tertentu untuk ujikaji, mengikuti peraturan mengenai penggunaan sesuatu alat dan sebagainya. Bacaan seperti ini memerlukan perhatian yang sepenuhnya agar perkara-perkara kecil dan terperinci tidak tertinggal.
Sebagai kesimpulan, guru pemulihan membaca membaca perlu mengajar, menggabungkan teknik dan bahan pengajarannya, dan menilai kemahiran yang diperlukan muridnya supaya dapat membaca. Berikut diturunkan kemahiran ini untuk panduan guru dan untuk memastikan bahawa murid tersebut telah menguasainya.
i. Kemahiran dekod : kemahiran persepsi
Persepsi visual setiap huruf
Persepsi visual urutan huruf
Persepsi pendengaran sebutan bunyi – konsonan, diftong dan dwilambang.
Persepsi pendengaran perkataan dalam urutan.
ii . Kemahiran dekod mengenal perhubungan fonem-grafem
Analisa fonetik perkataan.
Analisa struktur perkataan.
Perkaitan perkataan yang dilihat dengan perkataan yang diingat dan disebut : bersama maknanya.
Kemahiran membaca secara automatik.
iii . Kemahiran kefahaman.
Memberi makna sesuatu fakta
Memahami makna satu urutan fakta ( perenggan atau cerita )
Membuat kesimpulan atau penutup
Membuat atau mengingat perkara-perkara yang terperinci dalam sesuatu cerita.
Membuat seperti yang diarahkan.
Mengikuti satu urutan arahan (seperti dalam resepi)
Mencari perhubungan yang menyebabkan sesuatu.
Meramal sesuatu akan terjadi atau berlaku.
Menyelesaikan masalah, termasuk mencari maklumat yang diperlukan.
Menilai maklumat untuk kepentingan dan keesahannya.
iv . Kemahiran belajar.
Mengetahui urutan abjad
Mengetahui dan dapat menggunakan berbagai-bagai bahagian buku (tajuk, jadual isi kandungan, indeks, glosari, dan sebagainya)
Menggunakan format buku ( susunan buku kepada bahagian tertentu, bab dan perenggan) sebagai panduan untuk mencari idea penting
Mengelaskan bahan kepada tajuk-tajuk tertentu.
Menggunakan bahan rujukan (panduan telefon, kamus dan sebagainya)
Membaca peta,graf,jadual, dan carta.
Menggunakan fail-fail dan bibliografi.
Membuat rencana kasar dan ringkasan.
















4.3.3 Ujian pra
Ujian ini dijalankan kepada semua murid yang terlibat untuk mengetahui sejauh mana mereka dapat menguasai kemahiran membaca pada peringkat asas. Setelah dianalisis keputusannya, majority murid-murid gagal menguasai kemahiran membaca peringkat asas terutamanya yang melibatkan gabungan suku kata KV dan KVK. ( rujuk jadual 1 )

Jadual 1 : keputusan ujian pra
Markah % Jumlah murid Peratus
10 12 55
20 3 14
30 5 23
40 1 4
50 1 4
60 0 0
70 0 0
80 0 0
90 0 o
100 o 0
Jumlah 22 100

Dapatan di atas menunjukkan:
a ) 4 % murid berjaya mendapat markah > 50%
b ) 27% murid mendapat markah antara 30% - 40%
c ) 69% murid mendapat markah < 20%

Dapatan daripada analisis ini jelas menggambarkan kepada kita betapa pentingnya rawatan segera dilakukan agar masalah ini dapat diselesaikan. Oleh yang demikian, beberapa tindakan telah dilakukan bagi memulihkan murid-murid ini.

4.3.4 Rawatan
Tindakan awal yang dijalankan bagi membantu murid-murid ini menguasai kemahiran membaca terutamanya yang melibatkan gabungan suku kata kv dan kvk ialah dengan mengenal pasti kaedah pengajaran yang sesuai. Pengkaji telah memilih untuk menggunakan kaedah pembelajaran masteri di dalam bilik darjah. Memandangkan kaedah lebih menjurus kepada kebolehan seseorang, maka ia amat sesuai digunakan untuk kumpulan sasaran.

4.3.4.1 Aktiviti Rawatan
i. Stesen bacaan
Pengkaji telah menyediakan ‘Stesen bacaan’ di salah satu sudut di dalam kelas. Di stesen ini, disediakan dengan pelbagai bahan bacaan seperti :
a) kad suku kata
b) kad perkataan
c) kad ayat
d) carta cinta pendek.

Stesen ini diwujudkan bertujuan memberi ruang kepada murid-murid untuk mengisi masa terluang selepas selesai sesuatu aktiviti. Mereka akan membaca di stesen ini setelah guru mengesahkan yang mereka berjaya melaksanakan aktiviti yang diberi. Aktiviti ini dapat mewujudkan suasana yang menyeronokkan. Murid berlumba-lumba menyelesaikan aktiviti dengan jayanya untuk melayakkan mereka pergi ke stesen bacaan. Murid yang telah berjaya membaca bahan yang disediakan di stesen ini dengan lancar akan diberi hadiah.

Kaedah pembelajaran masteri telah dipilih memandangkan kumpulan sasaran merupakan golongan yang melakukan sesuatu mengikut minat. Dalam kaedah pembelajaran masteri, aspek utama yang diberi penekanan adalah pembelajaran mengikut kebolehan. Oleh itu, sekiranya kumpulan sasaran diberi tugasan yang mereka boleh lakukan mengikut kebolehan sedia ada, secara tidak langsung dapat menarik minat mereka terhadap proses P & P. Selain itu, pembelajaran masteri lebih memberi peluang individu itu untuk bertindak atas usaha sendiri tanpa arahan guru. Kaedah ini lebih kepada konsep pembelajaran kendiri iaitu guru hanya bertindak sebagai pembimbing. Akhir sekali, dalam kaedah ini murid dapat beralih ke tahap yang lebih tinggi selepas berjaya pada tahap sebelumnya.

Stesen 1
Di stesen 1 bahan yang digunakan adalah dalam bentuk kad suku kata yang
menggabungkan KV dan KVK seperti ‘bakul’ dan ‘jalan’. Murid-murid dikehendaki
mengeja dan membunyikan suku kata terbuka dan tertutup berdasarkan warna-warna tulisan pada kad tersebut.

Kad suku kata
ba + kul = bakul
ja + lan = jalan
se + ko + lah = sekolah

Penggunaan tulisan berwarna pada setiap perkataan juga adalah penting. Ia bertujuan untuk memudahkan kumpulan sasaran mengenal pasti dan membezakan antara suku kata KV dan KVK. Malahan penggunaan warna pada suku kata juga dapat memudahkan murid untuk mengeja ataupun membaca sesuatu perkataan yang diberi. Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat membantu murid membaca dengan cepat.

Stesen 2
Di dalam stesen ini, pengkaji menyediakan kad perkataan yang mengandungi gabungan suku kata KV dan KVK seperti :
 kad perkataan : buku
meja
memasak
tembikai
Kad ini masih lagi menggunakan tulisan berwarna supaya murid dapat menyebut suku kata berdasarkan warna tertentu pada perkataan tersebut. Pengkaji dapat melihat peningkatan murid yang tidak perlu mengeja apabila diberi kad-kad perkataan ini.

Stesen 3
Di sini, pengkaji menyediakan kad yang mengandungi ayat tunggal yang mudah seperti:
KAD AYAT
1. Ibu memasak nasi lemak di dapur.
2. Hobi kakak saya membaca buku cerita.
3. Adik saya gemar melukis gambar pemandangan
4. Lawatan ke Zoo Melaka telah dibatalkan

Dalam melaksanakan aktiviti ini, guru menggunakan dua langkah

a ) Pengukuhan
Pengkaji meminta murid mengeja dan membatangkan suku kata. Kemudian murid dikehendaki menyebut suku kata berwarna dan membatangkan perkataan.Ini adalah sebagai pengukuhan aktiviti di stesen-stesen sebelumnya.
b ) Pengayaan
Pengkaji meminta murid-murid membaca terus ayat tunggal yang diberi. Kemudian pengkaji bersoal-jawab untuk mengetahui tahap kefahaman murid terhadap ayat yang dibaca. Dengan demikian, murid dapat menguasai dua kemahiran serentak, iaitu membaca dan memahami teks bacaannya.

Stesen 4

Di stesen 4 ini, pengkaji menyediakan ‘Big Book’ . ‘Big Book’ adalah sebuah buku yang dibesarkan (enlarged) mengandungi gambar-gambar berwarna dan menarik. Ayatnya adalah pendek supaya murid lebih berfokus kepada latar belakang. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti:

a ) Menjana idea - murid bercerita berdasarkan gambar untuk mencungkil
pengetahuan am dan sedia ada.
b.) Bacaan terus - murid membaca tanpa perlu mengeja.
c ) Membandingkan persepsi murid dengan cerita sebenar pada gambar sebagai
pengukuhan.
d ) Penilaian

4.3.5 Ujian Pos
Ujian pos diberikan kepada kumpulan sasaran setelah proses rawatan selesai dijalankan.Ia bertujuan untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan teknik yang dilaksanakan. Dapatan daripada analisis ini jelas menunjukkan ada peningkatan berlaku walaupun tidak secara keseluruhannya


4.4 TEKNIK PENGAJARAN PEMULIHAN KEMAHIRAN MENULIS ASAS
 Hammil dan Mc Nut (1981) melaporkan bahawa kemahiran menulis mempunyai kaitan rapat dengan bacaan. Kemahiran ini termasuklah kecekapan dalam menulis mekanis, mengeja, tanda baca, huruf, kemahiran belajar dan membentuk makna.
 Objektif utama penguasaan kemahiran menulis mekanis atau tulisan tangan ialah supaya mudah dibaca. Pengajaran guru harus berfokus kepada memegang alat tulis, membentuk garisan dan lengkokan huruf dengan betul serta mengekalkan jarak dan bentuk huruf dengan sempurna.
 Murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran mempunyai masalah menulis. Mercer (1985) yangbersetujuh dengan pendapat Hidreth (1947) menyatakan bahawa punc utama ialah masalah ’psikomotor’, masalah emosi, kegagalan pengamatan terhadap huruf dan perkataan serta daya ingatan yang lemah. Jenis-jenis masalah tulisan tangan atau tulisan mekanis ini ialah lambat, arah tulisan yang tidak betul,terlalu jarak atau terlalu dekat, bercelaru, senget, terlalu menekan ketika menulis dan tulisan yang berlapis-lapis.

4.4.1 CARA MELAKSANAKAN PENGAJARAN KEMAHIRAN MENULIS ASAS

 Wiedorholt, Hammil dan Brown (1983) mencadangkan guru-guru sekolah rendah memperuntukkan 10 hingga 15 minit setiap hari untuk mengajar tulisan tangan (mekanis). Bagi masalah menulis bentuk huruf yang tidak betul dan berbentuk huruf senget, guru hendaklah meletakkan kertas lurus sebagai panduan untuk murid menulis. Jika menulis terlalu besar atau terlalu kecil, guru hendaklah berulang kali mengajar konsep saiz dengan menunjukkan fungsi setiap garisan di atas kertas.

Contohnya, Huruf c hendaklah ditulis di dlam garisan, lihat contoh berikut



Ada juga murid yang tidak dapat menulis dengan sekata (uniform). Bagi masalah ini, guru hendaklah membimbing pergerakan tangan murid berkenaan.

Perhatikan cara dia memegang pensel dan kedudukan tangannya di atas meja ketika dia menulis untukmemastikan pergerakan yang betul.

Satu lagi masalah yang sering dihadapi oleh murid-murid dalam tulisan mekanis ialah tulisan yang terlalu sesak atau terlalu jarang. Untuk mengatasi masalah ini cuba latih tubi murid menulis huruf mengikut jark hujung jari atau diukur dengan jarak sebatang pensel.

Selain daripada di atas, guru boleh menggunakan kebijaksanaan dan kreativiti sendiri untuk membantu murid menulis dengan betul dan sempurna. Aktiviti menulis ini juga boleh digabungkan dengan permainan untuk menghindari kebosanan murid jika guru terlalu kerap menggunakan teknik latih tubi. Guru juga boleh mengadakan muzik latar yang sesuai untuk menarik minat murid ketika menulis.
4.5 Kesimpulan
Dapatan dari kajian yang dijalankan terbukti menunjukkan kaedah pembelajaran
mengikut kebolehan (stesen) dapat meningkatkan penguasaan kemahiran bacaan kumpulan sasaran secara positif. Kenyataan ini dapat dikukuhkan lagi dengan perbandingan keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos yang telah dijalankan ke atas mereka. Selain itu, ia turut meningkatkan keyakinan diri murid untuk terlibat dalam proses P & P. Hasil dari ujian pos yang dijalankan terhadap kumpulan sasaran dapat menjelaskan bahawa kaedah pembelajaran adalah faktor penting untuk meningkatkan penguasaan sesuatu kemahiran. Kaedah Pembelajaran Masteri yang cuba diterapkan oleh pengkaji menampakkan hasil yang membanggakan.
Melalui kaedah ini, kumpulan sasaran merasakan diri mereka lebih dihargai dan secara tidak langsung telah berjaya meningkatkan keyakinan diri mereka. Malahan semangat ingin berjaya yang ditunjukkan oleh mereka amat mengagumkan. Perubahan sikap yang positif kepada kumpulan sasaran turut membantu kejayaan mereka. Oleh yang demikian, wujudlah suasana P & P yang lebih menyeronokkan. Kumpulan sasaran juga lebih berminat untuk menyertai setiap aktiviti yang dijalankan kerana mereka memahami apa yang dipelajari. Selain itu, respons baik yang diberi oleh mereka terhadap P & P secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan guru. Ini adalah kerana setiap aktiviti yang dirancang dapat diikuti dengan penuh minat. Disebabkan semangat ingin berjaya telah wujud dalam diri mereka, dengan sendirinya murid-murid ini menggunakan masaterluang dengan aktiviti membaca bahan yang disediakan .

4.5.1 Cadangan pembelajaran
Murid bukan hanya memerlukan satu pendekatan pengajaran yang fleksibel dan inovatif yang dapat menarik perhatian mereka tetapi yang sama penting ialah satu strategi yang dapat membantu mereka mengingat kembali maklumat yang diajar agar proses P & P boleh dianggap berkesan. Walau bagaimanapun, peruntukan masa yang panjang bagi sesuatu pembelajaran diperlukan supaya mereka benar-benar dapat menguasai kemahiran tersebut. Bahan yang diberi juga tidak boleh terlalu banyak memandangkan kumpulan sasaran terdiri daripada mereka yang cepat merasa bosan.

3 comments:

Cik Yaya said...

thanks a lot,nota nie berguna sgt2

modly said...

salam, maklumat yag sangat berguna ni,,.. thanks a lot,.. neway boleh sy tw sumber maklumat ni? buku or what?

∂a∂yana said...

thanks. this helps me with my course! :)